Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain, menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) hasil kos guaman yang dibayar oleh blogger kontroversi Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo). Wang tersebut disalurkan bagi membantu kebajikan anak-anak anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memerlukan. Sumbangan itu diserahkan kepada Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid, selaku Ahli Tetap TAWP di ibu pejabat PDRM. Razarudin menjelaskan, dana tersebut diperoleh hasil perintah mahkamah terhadap Papagomo yang diarah membayar kos guaman selepas kes saman fitnah RM3 juta difailkan KPN pada Januari lalu. “Alhamdulillah, dana ini dapat meringankan beban anak-anak warga polis yang menghadapi masalah kewangan atau kesihatan,” ujar Razarudin. Beliau turut menegaskan sumbangan itu akan digunakan untuk pelajar cemerlang dalam akademik. Pada 10 Januari 2025, Mahkamah Tinggi mengeluarkan injunksi inter-parte mengarahkan Papagomo memadam kandungan fitnah terhadap KPN di platform media sosial dan membayar kos guaman RM10,000.