Nasib seorang ahli fisioterapi berubah sekelip mata selepas terlibat dalam kemalangan motosikal yang menyebabkan tempurung kepalanya terpaksa dibuang. Kini, demi menampung kos pembedahan implan kepala bernilai RM15,000, Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, bangkit menjual daging salai untuk meneruskan kehidupan. Insiden yang berlaku pada 29 Disember itu menyebabkan Muhammad Sufi mengalami kecederaan serius, termasuk pendarahan otak yang memaksanya menjalani pembedahan besar. Kesan daripada kemalangan itu, dia tidak dapat berjalan selama tiga bulan dan kini berdepan kesukaran menggerakkan tangan kiri selain mengalami kerosakan saraf mata. “Bila pertama kali sedar, saya susah nak terima keadaan diri. Saya tak sangka kehidupan saya berubah seteruk ini. Dari membantu pesakit pulih, kini saya pula yang bergantung kepada rawatan,” katanya. Tambahnya, ibunya menjadi kekuatan utama untuk dia meneruskan hidup selepas mengalami kemurungan akibat kecederaan tersebut. Cabaran mencari rezeki dalam keadaan terbatas Biarpun tidak lagi dapat bekerja seperti dahulu, Muhammad Sufi tetap berusaha mencari pendapatan dengan menjual daging salai. “Saya pernah cuba berniaga daging salai secara langsung di TikTok, tetapi sambutan tidak begitu memberangsangkan. Sekarang, selepas kisah saya tular, ramai yang mula membuat tempahan,” katanya. Muhammad Sufi menjual daging salai pada harga RM80 sekilogram, manakala versi berlauk pula RM20 untuk 150 gram. Dalam keadaan fizikalnya yang terbatas, dia tetap gigih menghantar pesanan kepada pelanggan yang tinggal berdekatan dengan berjalan kaki, sementara ibunya membantu menghantar tempahan lebih jauh. “Saya masih menerima gaji, tetapi separuh sahaja, jadi saya perlu berusaha sendiri untuk tampung kos pembedahan yang dijadualkan pada 9 Mac nanti,” katanya. Keperitan hidup Muhammad Sufi mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyalurkan sumbangan sebanyak RM15,000 bagi menampung kos pembedahan implan kepala. Sumbangan itu disampaikan oleh Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan (1CU) Kedah, Zaiton Yahya, yang turut menyerahkan bantuan bakul makanan kepada Muhammad Sufi di rumahnya di Taman Jitra Indah. “Kami berharap bantuan ini dapat meringankan beban dan semoga pembedahan berjalan lancar,” kata Zaiton. Muhammad Sufi menyatakan rasa terharu atas sumbangan yang diterima dan berdoa agar segala urusan pembedahannya dipermudahkan. “Saya tak sangka video jualan daging salai saya mendapat perhatian ramai, termasuk Perdana Menteri sendiri. Saya bersyukur kerana dana sudah mencukupi, sekarang saya hanya fokus untuk pembedahan dan pemulihan,” katanya. Meskipun berdepan cabaran besar dalam hidup, Muhammad Sufi tetap berusaha bangkit demi masa depan anak perempuannya yang berusia lima tahun. #thereportermy #berita #semasa #muhammadsufi #tempurungkepala #dagingsalai