TikTok LogoTikTok Logo

Garis Panduan Komuniti

Gambaran Keseluruhan

Dikeluarkan 17 April 2024

Berkuat kuasa 17 Mei 2024

TikTok adalah sumber hiburan dan pengayaan yang membolehkan anda meneroka, mencipta, dan berhubung dengan orang lain di seluruh dunia. Misi kami adalah untuk menginspirasikan kreativiti dan membawa keceriaan.

Kami mengamalkan Garis Panduan Komuniti untuk mencipta pengalaman yang mesra, selamat, dan menghiburkan. Garis panduan ini diguna pakai untuk semua orang dan semua perkara di platform kami. Garis panduan ini termasuk peraturan yang dibenarkan di TikTok, serta piawaian bagi perkara yang layak untuk suapan 'For You' (FYF). Untuk menangani risiko dan kemudaratan baharu, garis panduan dikemas kini secara berterusan.

Untuk kemudahan anda membaca, pihak kami telah menyusun garis panduan mengikut bidang topik, dan menyerlahkan setiap peraturan dalam huruf tebal. Anda boleh mengklik Maklumat lanjut untuk takrifan, contoh, dan penjelasan kepada soalan lazim. Contoh yang diberikan tidak merangkumi kesemua perkara (kami menerangkan perkara ini terlebih dahulu supaya anda tidak perlu berulang kali membaca frasa "termasuk, tetapi tidak terhad kepada"). Jika anda dalam keraguan tentang perkara yang ingin dikongsi, ingat untuk berbuat baik dan layan orang lain sebagaimana anda ingin dilayan.

Terima kasih kerana membantu TikTok menjadi ruang yang mengalu-alukan untuk semua orang!

Penyederhanaan Kandungan

Untuk memastikan platform kami selamat, boleh dipercayai, dan meriah, keseimbangan ekspresi kreatif dan pencegahan kemudaratan diperlukan. Kami menggunakan gabungan pendekatan keselamatan untuk mencapai keseimbangan yang betul:

Mengalih keluar kandungan yang kami tidak benarkan

Setiap orang yang menyertai TikTok dapat berkongsi kandungan secara bebas di platform kami. Namun, kami mengalih keluar kandungan--sama ada yang disiarkan secara umum atau peribadi--apabila kami mendapati bahawa kandungan melanggar peraturan kami.

Mengehadkan kandungan yang tidak sesuai untuk belia

Kami membenarkan pelbagai kandungan di platform kami, tetapi kami juga menyedari bahawa tidak semua kandungan itu sesuai untuk penonton yang lebih muda. Kami mengehadkan kandungan yang mungkin tidak sesuai supaya kandungan itu hanya dapat dilihat oleh orang dewasa (18 tahun ke atas). Rumusan kategori kandungan yang dihadkan boleh ditemui di sini.

Mengehadkan kelayakan kandungan FYF yang tidak memenuhi piawaian pengesyoran kami

FYF adalah peluang untuk menemukan kandungan baharu dan mencapai audiens baharu, tetapi tidak semua kandungan dijamin akan disyorkan. Kandungan yang tidak memenuhi piawaian kami akan dihadkan kelayakan untuk FYF. Rumusan piawaian ini boleh ditemukan di sini.

Memperkasakan komuniti kami dengan maklumat, alatan dan sumber

Kami ingin memastikan anda mempunyai maklumat yang tepat untuk membantu anda mengurus pengalaman anda di TikTok. Kami mungkin menambahkan label, skrin "pilih masuk", atau amaran untuk memberikan lebih banyak konteks. Kit alat keselamatan kami boleh membantu anda menapis kandungan dengan tanda pagar tertentu atau komen yang anda tidak selesa melihat, kami juga menawarkan kawalan akaun dan ciri dalam aplikasi dengan sumber keselamatan.